Anda sudah membaca novel dan komik yang telah kami paparkan? Berapa bintang yang anda hendak beri? Cuma klik jumlah bintang di bawah setiap entri.

Tuesday, March 29, 2011

The Untold Story

Selepas ini kau akan jadi seperti kami. Makhluk malam yang digeruni manusia. Kau tidak akan dapat merasai kehangatan matahari lagi. Hidup kau akan sentiasa kedinginan. Teman kau hanya kegelapan dan kesunyian."


Ungkapan yang diucapkan beratus tahun dahulu rupanya bakal mengubah hidup Teja Aira. Pertemuannya dengan Diaz, lelaki kacak yang mempesonakan telah mengheretnya ke sebuah dunia gelap yang tidak pernah disedari kewujudannya. Di dunia itu Aira mengenali Aidan yang dingin bersama teman-temannya yang menggelarkan diri mereka Night Crawler. Melalui Night Crawler, Aira mengenali Shifter yang menakutkan dan Custos yang menyenangkan.


Bagi Night Crawler, Shifter tidak ubah seperti binatang buas yang harus dihapuskan ataupun kehidupan manusia akan musnah. Bagi Shifter, mereka hanya mengikut naluri semula jadi mereka dan jika dihalang, mereka akan melawan semula. Dan bagi Custos pula, baik Shifter ataupun Night Crawler kedua-duanya berhak hidup selagi peraturan yang ditetapkan tidak dilanggar ataupun kedua-duanya akan dihapuskan.


Siapakah Night Crawler, Shifter dan Custos? Mengapakah kehadiran mereka perlu dirahsiakan? Dan mengapakah Aira turut terheret dalam pertelingkahan yang sudah berlanjutan selama beratus tahun ini?




TEMU BUAL BERSAMA FARAH HUSAIN


Latar belakang penulisan dan antara karya yang sudah diterbitkan

Saya memang minat menulis sejak di bangku sekolah lagi. Cuma ketika itu saya menumpukan kepada penulisan artikel dan cerpen. Apabila masuk universiti, skop penulisan saya berubah ke rencana dan laporan berita kerana projek tahun akhir memerlukan kami menerbitkan sebuah buletin.

Saya mula serius menulis novel dan cerpen sekitar tahun 2008. Keinginan memang sudah lama ada dalam hati cuma saya tidak yakin dapat melakukannya. Apabila mengenali beberapa orang kawan baru di alam maya yang bergelar penulis, baru saya berani menulis secara serius. Sokongan dan keyakinan merekalah yang menguatkan lagi semangat saya untuk menceburi bidang ini.

Setakat ini, karya saya yang diterbitkan ialah The Untold Story. Ada juga cerpen saya yang sudah disiarkan dalam majalah. Ada beberapa manuskrip lagi dalam simpanan saya yang menunggu masa untuk dikirimkan kepada rumah penerbitan untuk penilaian mereka.


Idea cerita

Idea menulis The Untold Story datang sewaktu saya dan seorang teman bercadang untuk mewujudkan satu platform yang menghimpunkan karya-karya genre fantasi dan fiksyen sains memandangkan ia menjadi minat kami berdua. Kebetulan kami berdua memang sedang demam ‘vampire’ ketika itu, jadi kami membuat keputusan untuk menghasilkan sebuah cerita berunsur sebegini. Dari situlah terhasilnya novel ini.

Cabaran dan pengalaman dalam menghasilkan The Untold Story

Cabaran yang paling besar adalah untuk mengejar deadline yang ditetapkan oleh editor! Saya cuma ada masa sebulan lebih sahaja untuk menyiapkan manuskrip ini. Cabaran lain adalah memastikan apa yang saya tulis tidak mengandungi apa-apa perkara yang boleh menyinggung perasaan pembaca memandangkan ia sebuah kisah berkenaan vampire. Saya perlu bijak mengolah cerita agar ia tidak mengandungi unsur-unsur sensitif dan boleh menyinggung perasaan pembaca. Di samping itu saya juga perlu banyak melakukan homework kerana beberapa tempat dan terma dalam novel ini wujud di alam realiti.


Harapan terhadap The Untold Story

Ini adalah novel pertama saya. Saya akui masih terdapat kelemahan di dalamnya. Saya berharap pembaca yang meminati genre ini akan berpuas hati dengan novel ini dan terhibur dengan apa yang saya karangkan. Saya sudah mencuba sebaik mungkin. Andai ada perkara yang tidak menyenangkan, saya memohon maaf. Insya-Allah, saya akan memperbaiki kelemahan yang ada untuk karya-karya akan datang.


Projek novel akan datang

Seperti yang saya katakan tadi, ada beberapa manuskrip yang sedang saya pertimbangkan untuk dihantar ke mana-mana rumah penerbitan. Kesemuanya adalah genre kegemaran saya iaitu fiksyen sains dan fantasi. Saya juga sedang dalam proses menyiapkan manuskrip cerita kanak-kanak untuk sebuah rumah penerbitan. Ini adalah projek bersama dua orang teman penulis yang lain.


*Novel ini akan menemui anda pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011!