Untuk maklumat lanjut, sila klik di sini
Anda sudah membaca novel dan komik yang telah kami paparkan? Berapa bintang yang anda hendak beri? Cuma klik jumlah bintang di bawah setiap entri.
Saturday, May 14, 2011
Wednesday, April 27, 2011
Komik Lawak Orang Bujang
Komik Lawak Orang Bujang adalah karya kedua pelukis komik bernama Froggy Papa di bawah label Komik-M. Beliau yang sebelum ini lebih dikenali dengan Komik BabapBoi merupakan seorang yang ceria dan suka berjenaka. Mari kita ikuti temu bual istimewa bersama Froggy Papa yang sudah tidak bujang lagi (sudah beristeri).
Ceritakan latar belakang saudara dan antara karya yang sudah diterbitkan.
Assalamualaikum. Latar belakang eh? Saya ini sebenarnya tak suka bercerita pasal latar belakang saya. Kalau menyanyi suara latar saya sukalah. Tapi secara ringkasnya, saya ni lahir di Johor Bahru. Membesar pun di sana juga. Tahun 2001, saya berhijrah ke Kuala Lumpur. Masa tu kerja dengan 'komik Anak-anak Sidek' dengan nama pena Peiros. Tahun 2006, saya bekerja dengan syarikat membuat casual games, serta games-games SMS di Astro tu. Err... lepas tu saya berhenti kerja pada tahun 2007 dan buat freelance fulltime sampai sekarang. Komik solo pertama saya ialah 'Babap Boi' yang diterbitkan pada tahun 2010 dan kini komik 'Lawak Orang Bujang' pada tahun 2011. Hsnff... hsnff... penat ni cakap laju-laju macam ni tau.
Bagaimana boleh timbul idea buat komik Lawak Orang Bujang (LOB)?
Sebenarnya komik LOB ni asalnya adalah projek komik MMS dengan usahasama Mmode Sdn Bhd. Tajuk asalnya 'Lawak kecoh'. Komik ini format asalnya dalam bentuk MMS yang kau orang dapat dua kali seminggu kalau kau orang subscribe. Kalau kau orang tak subscribe, sah-sahlah kau orang tak dapat. Ya tak? Idea lawak kecoh diilhamkan daripada pengalaman bujang saya sendiri dan pengalaman yang tak pernah wujud dalam hidup saya. Tapi barangkali wujud dalam hidup orang lain. Ceritanya ringkas dan tak memenatkan otak, namun saya sentiasa cuba mencari humor yang dekat di hati pembaca. Alah, macam TV9 la, dekat di hati. Hahahha... eh tak lawak eh? Lepas tu memandangkan komik ini laku macam cekodok pisang dan sudah ada lebih 100 episod, saya pun dapat idea untuk membuat kompilasi komik ni. Syukur Komik-M sudi untuk menerbitkannya di bawah siri "Dunia Kartun" dengan tajuk LOB.
Cabaran dan pengalaman dalam menghasilkan LOB?
Cabaran membuat komik ini sangat kurang. Kerana komiknya sudah ada. Kan saya dah cakap ini komik kompilasi tadi. Jadi cuma kompilasi sajalah. Heheh. Tapi yang sukarnya format MMS dulu amat kecik saiz dan resolusinya, jadi saya terpaksa lukis semula semua komik yang ada supaya kualitinya tak menurun/pixel pecah selepas dicetak. Proses ni memang ambil masa yang lama. Ibarat meniti titian usang dan tiangnya pula dimamah usia. Tiada yang kekal selain daripada-Nya...
Froggy sedang bergaya sebagai
seorang ahli gusti
Harapan terhadap LOB?
Harapan saya supaya pembaca terhibur melayan komik yang santai ini, seterusnya komik ini laku dan sold out sehingga terpaksa diulang cetak sebanyak 90 kali! Wahaha! Jangan lupa rekomen kepada kawan-kawan seofis, sedarjah, sekelas, sebilik, serumah dan sebantal ya! (Jangan kongsi pada kawan anda yang tak bayar sewa rumah tu! Biar dia jeles!)
Projek komik terbaru dan akan datang?
Untuk komik MMS, saya ada enam keping yang sentiasa dihantar setiap minggu. Komik solo terbaru selepas ini ialah Babap Boi #2 dan selepas itu projek buku tutorial (yang mana proposalnya belum dihantar) dan LOB #2 sebelum hujung tahun ni. Tahun depan relaks saja sebab banyak royalti masuk. Wahahaha... teramatlah berangan saya ni!! Hehhehe...
Sila dapatkan Lawak Orang Bujang
di kedai-kedai buku bukannya di toko-toko jamu.
Monday, April 18, 2011
Bunga di Rimba
Cuba anda perhatikan kulit luar novel ini. Pada pendapat anda, novel ini berkisahkan tentang apa ya? Adakah jawapan anda tepat? Mari kita tanyakan kepada penulisnya, Zuliana Abuas.
Rimba itu adalah rumahnya. Tempat di mana dia berbicara dengan alam, meneruskan kehidupan siang yang rutin, tetapi menggembirakan. Menjalani kehidupan malam yang panjang, tetapi cukup mendamaikan. Bagi Ajura, hidup dan matinya, biarlah di rimba itu. Namun sesuatu telah berlaku. Permergian si ayah yang sudah melangkau waktu, benar-benar membuat dia buntu.
Akhirnya, gadis itu terpaksa memberanikan diri, cuba menjengah dunia luar yang asing yang tidak pernah diimpikan. Dalam pencarian, dia bertemu Yusri, lelaki yang berbudi. Lelaki yang dalam diam menyimpan hati padanya tetapi takut meluahkan. Dapatkah Ajura bertemu dengan ayahnya semula? Apakah hubungan Yusri dan Ajura akan berkembang mekar?
Latar belakang penulisan anda
Saya meminati bidang penulisan semenjak zaman persekolahan lagi. Saya juga gemar menghabiskan masa dengan membaca novel. Pada tahun 2006, saya berpeluang mengikuti bengkel pertama yang dianjurkan oleh syarikat Alaf 21. Semenjak dari detik itu saya sering mengikuti bengkel-bengkel yang diadakan oleh syarikat penerbitan dan juga anjuran persendirian.
Pada tahun 2007, saya mula menulis sedikit demi sedikit dan pada tahun 2008 barulah saya berani menyerahkan manuskrip saya untuk dinilai. Walaupun kali pertama manuskrip saya telah ditolak oleh sebuah syarikat penerbitan tetapi itu semua tidak melemahkan semangat saya. Kali kedua manuskrip pertama saya diterima syarikat penerbitan kedua dan mereka bersetuju untuk menerbitkannya.
Karya pertama saya adalah “Viva Sakura” terbitan NB Kara Sdn Bhd dan diterbitkan pada tahun 2009. Novel kedua saya yang berjudul “Bunga di Rimba” juga diterbitkan oleh syarikat yang sama pada tahun 2011. Novel ketiga saya berjudul "Puteri Karla" bakal berada di pasaran penghujung April atau pada Mei 2011. Novel ketiga ini bakal diterbitkan oleh syarikat Fajar Pakeer Sdn Bhd.
Bagaimana boleh dapat idea untuk buat cerita ini dan mengapa anda memilih genre ini?
“Bunga di Rimba” adalah cubaan pertama saya untuk menulis dalam genre misteri. Mungkin novel tidak terlalu berat dengan misteri seperti novel-novel penulis misteri yang ada di Malaysia tetapi saya tetap mencuba kerana saya sendiri masih belajar dan masih cuba mendalami ilmu penulisan untuk genre-genre sebegini. Mungkin masih terdapat kelemahan di sana sini tetapi saya akan membaiki kelemahan itu untuk projek seterusnya.
Idea untuk menghasilan “Bunga di Rimba” bermula daripada sebuah gambar yang menjadi hiasan skrin komputer saya. Saya sangat tertarik melihat gambar itu dan saya mula berangan untuk berada dalam gambar tersebut. Saya juga teringin menulis sebuah kisah yang sedikit lain daripada novel saya sebelum ini. Saya ingin mempunyai novel berlatar belakangkan alam semula jadi kerana memang saya sangat mencintai suasana kampung dan hutan. Dari situ sedikit demi sedikit idea muncul sehinggalah ke akhirnya.
Apakah cabaran dan pengalaman dalam menghasilkan novel ini?
Memang ada beberapa cabaran untuk menghabiskan manuskrip ini. Sebenarnya “Bunga di Rimba” adalah manuskrip pertama saya iaitu mula ditulis pada tahun 2006. Kerana beberapa cabaran menyebabkan saya agak lambat menyiapkan manuskrip ini. Dalam proses menyiapkan manuskrip ini, saya menghadiri beberapa bengkel penulisan untuk genre misteri thriller nagi menambah ilmu dan juga mempelajari genre sebegini kemudian barulah saya berjaya menghabiskannya.
Antara cabaran adalah dari segi penyusunan fakta dan plot misteri. Bagi menghasilkan genre cinta, biasanya polanya tidak terlalu berbelit. Tetapi untuk menghasilkan genre misteri, penulis harus bijak dan peka bagaimana untuk menyusun plot dan subplot. Saya juga harus berhati-hati dengan fakta agar tidak memeningkan kepala pembaca dan saya perlu tahu bagaimana untuk memancing hati pembaca untuk terus membelek dari satu muka surat ke satu muka surat.
Selain itu, genre misteri thriller di Malaysia sudah ada penulis seniornya. Saya pula penulis baru dan kebiasaannya peminat genre ini tidak begitu yakin dengan penulis baru seperti saya menyebabkan keberanian saya untuk menghantar manuskrip “Bunga di Rimba” agak kurang. Sehinggalah pada tahun 2010, saya memberanikan diri menyerahkan manuskrip ini kepada pihak NB Kara. Walau bagaimanapun, saya tetap memasukkan elemen-elemen cinta dalam novel ini agar pembaca novel cinta dapat menerima unsur-unsur misteri yang cuba saya terapkan.
Harapan terhadap novel ini
Harapan saya agar pembaca di luar sana dapat menerima percubaan pertama saya ini dan saya memohon maaf seandainya penulisan saya ini tidak sehebat penulis senior untuk genre-genre sebegini. Insya-Allah, saya akan cuba membaiki segala kelemahan yang ada. Semoga segala isi yang baik dapat memberi tauladan kepada pembaca dan segala isi yang kurang baik dapat memberi sempadan kepada pembaca.
Projek novel akan datang
Buat masa ini saya sedang bergabung tenaga dengan dua orang rakan untuk menghasilkan cerita kanak-kanak. Selain itu saya sedang menyiapkan dua buah manuskrip yang mana kedua-duanya mengenai kisah cinta tetapi mengunakan elemen yang berbeza. Saya juga cuba menulis kisah cinta berlandaskan Islamik namun saya sendiri tidak berani mengatakan yang ia adalah Novel Islamik kerana ilmu yang saya ada masih cetek. Tetapi saya cuba menerapkan unsur-unsur Islamik semampu mungkin.
Temui Zuliana Abuas di booth NB Kara, PBAKL, PWTC pada 24 April ini!
Tuesday, March 29, 2011
The Untold Story
“Selepas ini kau akan jadi seperti kami. Makhluk malam yang digeruni manusia. Kau tidak akan dapat merasai kehangatan matahari lagi. Hidup kau akan sentiasa kedinginan. Teman kau hanya kegelapan dan kesunyian."
Ungkapan yang diucapkan beratus tahun dahulu rupanya bakal mengubah hidup Teja Aira. Pertemuannya dengan Diaz, lelaki kacak yang mempesonakan telah mengheretnya ke sebuah dunia gelap yang tidak pernah disedari kewujudannya. Di dunia itu Aira mengenali Aidan yang dingin bersama teman-temannya yang menggelarkan diri mereka Night Crawler. Melalui Night Crawler, Aira mengenali Shifter yang menakutkan dan Custos yang menyenangkan.
Bagi Night Crawler, Shifter tidak ubah seperti binatang buas yang harus dihapuskan ataupun kehidupan manusia akan musnah. Bagi Shifter, mereka hanya mengikut naluri semula jadi mereka dan jika dihalang, mereka akan melawan semula. Dan bagi Custos pula, baik Shifter ataupun Night Crawler kedua-duanya berhak hidup selagi peraturan yang ditetapkan tidak dilanggar ataupun kedua-duanya akan dihapuskan.
Siapakah Night Crawler, Shifter dan Custos? Mengapakah kehadiran mereka perlu dirahsiakan? Dan mengapakah Aira turut terheret dalam pertelingkahan yang sudah berlanjutan selama beratus tahun ini?
TEMU BUAL BERSAMA FARAH HUSAIN
Latar belakang penulisan dan antara karya yang sudah diterbitkan
Saya memang minat menulis sejak di bangku sekolah lagi. Cuma ketika itu saya menumpukan kepada penulisan artikel dan cerpen. Apabila masuk universiti, skop penulisan saya berubah ke rencana dan laporan berita kerana projek tahun akhir memerlukan kami menerbitkan sebuah buletin.
Saya mula serius menulis novel dan cerpen sekitar tahun 2008. Keinginan memang sudah lama ada dalam hati cuma saya tidak yakin dapat melakukannya. Apabila mengenali beberapa orang kawan baru di alam maya yang bergelar penulis, baru saya berani menulis secara serius. Sokongan dan keyakinan merekalah yang menguatkan lagi semangat saya untuk menceburi bidang ini.
Setakat ini, karya saya yang diterbitkan ialah The Untold Story. Ada juga cerpen saya yang sudah disiarkan dalam majalah. Ada beberapa manuskrip lagi dalam simpanan saya yang menunggu masa untuk dikirimkan kepada rumah penerbitan untuk penilaian mereka.
Idea cerita
Idea menulis The Untold Story datang sewaktu saya dan seorang teman bercadang untuk mewujudkan satu platform yang menghimpunkan karya-karya genre fantasi dan fiksyen sains memandangkan ia menjadi minat kami berdua. Kebetulan kami berdua memang sedang demam ‘vampire’ ketika itu, jadi kami membuat keputusan untuk menghasilkan sebuah cerita berunsur sebegini. Dari situlah terhasilnya novel ini.
Cabaran dan pengalaman dalam menghasilkan The Untold Story
Cabaran yang paling besar adalah untuk mengejar deadline yang ditetapkan oleh editor! Saya cuma ada masa sebulan lebih sahaja untuk menyiapkan manuskrip ini. Cabaran lain adalah memastikan apa yang saya tulis tidak mengandungi apa-apa perkara yang boleh menyinggung perasaan pembaca memandangkan ia sebuah kisah berkenaan vampire. Saya perlu bijak mengolah cerita agar ia tidak mengandungi unsur-unsur sensitif dan boleh menyinggung perasaan pembaca. Di samping itu saya juga perlu banyak melakukan homework kerana beberapa tempat dan terma dalam novel ini wujud di alam realiti.
Harapan terhadap The Untold Story
Ini adalah novel pertama saya. Saya akui masih terdapat kelemahan di dalamnya. Saya berharap pembaca yang meminati genre ini akan berpuas hati dengan novel ini dan terhibur dengan apa yang saya karangkan. Saya sudah mencuba sebaik mungkin. Andai ada perkara yang tidak menyenangkan, saya memohon maaf. Insya-Allah, saya akan memperbaiki kelemahan yang ada untuk karya-karya akan datang.
Projek novel akan datang
Seperti yang saya katakan tadi, ada beberapa manuskrip yang sedang saya pertimbangkan untuk dihantar ke mana-mana rumah penerbitan. Kesemuanya adalah genre kegemaran saya iaitu fiksyen sains dan fantasi. Saya juga sedang dalam proses menyiapkan manuskrip cerita kanak-kanak untuk sebuah rumah penerbitan. Ini adalah projek bersama dua orang teman penulis yang lain.
*Novel ini akan menemui anda pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011!
Tuesday, February 8, 2011
Penulis yang Disayang Tuhan
Jika anda penggemar karya Bahruddin Bekri, pastikan anda tidak ketinggalan untuk memiliki karya terbaru beliau yakni Penulis yang Disayang Tuhan (PYDT) yang kini sudah pun berada di kedai-kedai buku di seluruh Malaysia.

Ada seorang penulis yang putus asa.
Seorang pelajar 10 tahun yang taat kepada bapa.
Seorang gadis yang berada di hujung usia.
Tiga pendatang tanpa izin yang hidupnya disalut kecewa.
Dan lima penulis yang penuh rahsia.
Siapa penulis yang disayang Tuhan? Namun kisah ini lebih daripada sekadar itu.
BERSAMA BAHRUDDIN BEKRI
Latar belakang penulisan dan antara karya yang sudah diterbitkan
Saya memang minat menulis sejak di bangku sekolah tetapi tidak pernah menghantar karya ke mana-mana media. Kemudiannya, selepas habis belajar dan memasuki dunia pekerjaan, minat menulis akhirnya bergandingan dengan usaha. Selama ini minat tanpa usaha dan sabar memang tidak boleh ke mana-mana. Jadi, mula serius menulis pada 2008. Sehingga sekarang, baru ada 12 buah novel yang diterbitkan.
Idea dan genre PYDT
Saya memilih genre ini kerana ideanya mudah. Ideanya datang daripada persekitaran. Walaupun idea datang daripada persekitaran tetapi ia tetap memberi pengalaman baru kepada pembaca. Bahagian ini yang sukar, iaitu menjadikan idea mudah itu menjadi sebuah cerita yang meninggalkan pengalaman baru kepada pembaca.
Cabaran dan pengalaman dalam menghasilkan PYDT
Cabarannya banyak. Ini kerana saya perlu banyak mengkaji subjek penulisan itu sendiri. Apa yang mahu diberitahu kepada pembaca dan diri sendiri kerana ia berkenaan penulisan. Cabaran lain adalah membina plot-plot yang penuh serabut, berbelit-belit dan menetapkan hati menulis kerana ia adalah ibadah. Ini memang susah.
Harapan terhadap novel PYDT
Laku dan menjadi bestseller serta memberi manfaat.
Projek novel akan datang
Meneruskan novel PELIT.
Thursday, January 27, 2011
Jangan Pernah Berubah
Kata orang cinta itu asalnya dari mata. Kemudian, sampai ke hati. Betullah agaknya kata orang itu, sebab dengan mata itulah Hanisha jatuh hati kepada lelaki yang entah siapa-siapa. Kemudian, dia jatuh sayang. Sayang sangat-sangat sampai tak boleh lupa siang dan malam. Mula menyimpan angan-angan yang bukan-bukan.
“Hani fikir, abang semudah itu untuk berubah hati? Hani ingat abang ni boneka yang hanya tahu mengikut kata dan telunjuk orang?”
Bagi Fahrin yang dituduh dengan penyataan yang sama sekali tidak benar, mula memasang angan yang indah-indah apabila emaknya mengutarakan sesuatu yang benar-benar memeranjatkannya. Kalau dah jodoh, larilah ke mana sekalipun, jodoh tetap jodoh.
Benarkah jodoh yang diharapkan akan berkekalan hingga ke akhirnya? Mampukah Hanisha dan Fahrin mengatasi rintangan dan masalah yang menduga? Benarkah tidak akan ada hati yang pernah berubah?
“Hani fikir, abang semudah itu untuk berubah hati? Hani ingat abang ni boneka yang hanya tahu mengikut kata dan telunjuk orang?”
Bagi Fahrin yang dituduh dengan penyataan yang sama sekali tidak benar, mula memasang angan yang indah-indah apabila emaknya mengutarakan sesuatu yang benar-benar memeranjatkannya. Kalau dah jodoh, larilah ke mana sekalipun, jodoh tetap jodoh.
Benarkah jodoh yang diharapkan akan berkekalan hingga ke akhirnya? Mampukah Hanisha dan Fahrin mengatasi rintangan dan masalah yang menduga? Benarkah tidak akan ada hati yang pernah berubah?
Novel ini bukan sebuah kisah cinta yang kosong semata-mata. Sarat dengan pengajaran dan peringatan buat mereka yang sedang asyik dilamun cinta. Kalau berpacaran...
Friday, December 31, 2010
Untuk Orang yang Gila FB!
Facebook? Siapa yang tidak tahu dan kenal apa itu Facebook? Kanak-kanak seawal dua tahun sehingga orang tua ratusan tahun pun kenal Facebook. Komik antologi ini menghimpunkan pelbagai kisah dan ragam manusia yang berlingkar di sekeliling rangkaian sosial popular, Facebook!
Komik ini juga istimewa, kerana menampilkan kemunculan semula legenda kartunis tanah air iaitu Tuan Tembakau yang popular dengan siri komik Kartini. Ilustrasi kulit buku komik ini juga dihasilkan dengan sentuhan hebat beliau.

Ini komik yang banyak bagusnya. Bahasanya bagus, lukisannya bagus dan ceritanya pun bagus. Pembacanya pun bagus-bagus. Bertambah bagus apabila anda pula yang membelinya.
~Bahruddin Bekri, penulis novel remaja bestseller~
~Bahruddin Bekri, penulis novel remaja bestseller~
Mari kita beli beramai-ramai!
~Farihah Iskandar, penulis siri novel dan komik bestseller Dear Yayah~
~Farihah Iskandar, penulis siri novel dan komik bestseller Dear Yayah~
Inilah fenomena Dr. Romley (tolong jangan delete komen ini).
~Dr. Romley, doktor yang bakal terkenal~
~Dr. Romley, doktor yang bakal terkenal~
Memang kelakar melihat mereka yang terkena penyakit Facebook. Beli komik ini untuk mengenal pasti adakah kita salah seorang daripada mereka yang berpenyakit Facebook.
Tepuk amai-amai,
Belalang kupu-kupu,
Facebook ramai-ramai,
Tetap baca buku.
Belalang kupu-kupu,
Facebook ramai-ramai,
Tetap baca buku.
~Ain Maisarah, penulis novel remaja terkenal dan bestseller~
Dipetik daripada laman web rasmi PTS.
Subscribe to:
Posts (Atom)
