Anda sudah membaca novel dan komik yang telah kami paparkan? Berapa bintang yang anda hendak beri? Cuma klik jumlah bintang di bawah setiap entri.

Friday, December 25, 2009

Manik Merah Jambu

Temubual bersama Ney Joehan.



Meesha dan Aishah.
Dua gadis dari latar belakang yang berbeza.
Antara pelajar sekolah antarabangsa dan pelajar sekolah biasa.
Namun mereka punya minat dan cita-cita yang sama.
Manik, butang dan labuci menjadi sahabat mereka.
The Golden Wardrobe mula dikenali kerana rekaan unik mereka.
Rancangan mereka mula dicemburui...
Mampukah mereka mencapai impian menjadi pereka fesyen?


1. Ceritakan serba sedikit latar belakang penulisan anda. Bagaimana anda bermula sebagai penulis dan antara karya yang pernah diterbitkan.
Saya mula menulis secara tidak serius di blogspot dengan menggunakan bahasa Melayu rendah (BMR). Dikelilingi oleh editor-editor yang sering mengusung manuskrip ke mana-mana saja dan minat datang secara perlahan-lahan selepas membaca 4 siri TWILIGHT.

2. Bagaimana boleh timbul idea nak buat cerita berbentuk sebegini?
Saya memang suka menjahit dan saya banyak beli jeans di bundle. Saya tambah manik pada jeans-jeans tu. Tadaaaa.... macam seluar mahal. Saya memang suka benda yang berkilat. Idea datang jadi, mengapa pula kita tak boleh benda lama itu seperti baru dan jual, kan?!

3. Apakah cabaran dan pengalaman dalam menghasilkan cerita yang mempunyai maklumat fakta sebegini?
Saya akan bereksperimen dengan pakaian sendiri terlebih dahulu sebelum menulis dan tidak semua orang suka pakai pakaian yang 'terlebih kreatif' seperti saya. Fakta-fakta seperti nama manik saya rujuk pada buku. Dalam masa yang sama, saya juga belajar mengenali manik dengan nama yang betul.

4. Harapan anda terhadap novel ini?
Harapan saya, biarlah buku ini dapat membuka minat remaja yang terpaksa beli pakaian mahal untuk kelihatan 'art' atau 'kreatif' padahal benda tu semua boleh buat sendiri. Buat design sendiri lebih fun! Sudahlah fun, boleh jual-jual pula. Ini sudah fun fun. :)

5. Projek terbaru selepas Manik Merah Jambu?
Sambungan Manik Merah Jambu, sambungan Chronicle 301, beberapa manuskrip yang masih disimpan dalam bentuk draf dan projek khas bersama 2 penulis lain untuk menghasilkan novel orang bujang. Nantikannnnnnnn~~

Wednesday, December 2, 2009

Smash 20

Ehsan Fairuz meminati sukan bola sepak, namun orang di sekelilingnya lebih suka dia bermain badminton. Keadaan itu menyebabkan dia memberontak sehingga berlaku pertengkaran antara dia dan cikgunya. Akhirnya Ehsan Fairuz mengalah dan bermain badminton. Malah, dia terus diberi tanggungjawab menjadi pemain penting dalam perlawanan badminton peringkat daerah. Apakah keistimewaan yang ada pada Ehsan sehingga orang di sekelilingnya begitu bersungguh mahu dia menjadi pemain badminton? Apakah kelebihan yang ada pada orang baru sepertinya sehingga diberi kepercayaan memikul tanggungjawab berat itu?

ISTIMEWA TEMUBUAL BERSAMA PELUKIS KOMIK SMASH 20

1. Ceritakan sedikit tentang latar belakang anda?
Lahir di Taman Melawati dan dibesarkan di Lembah Keramat, Gombak, Selangor. Menamatkan pengajian SPM di SMK Seri Keramat. Dan kini sedang menuntut di Pra-Universiti di UIA Malaysia, Petaling Jaya dalam bidang arkitek.


2. Untuk Komik Smash 20 ni, kenapa pilih sukan badminton sebagai jalan cerita komik ni?
Saya sendiri sebenarnya seorang peminat komik sukan, komik yang mengajak pembaca supaya tak mudah berputus asa dan berazam melawan hingga ke akhir memang mengasyikkan saya. Saya amat meminati badminton sejak kecil lagi dan sudah mula berfikir-fikir hendak membuat komik badminton sejak akhir tahun 2006 dan 2007.

Lagi satu, badminton juga bagi saya bukanlah satu sukan popular berbanding tenis. Kalau tidak, tak mungkinlah tiada mangaka-mangaka hebat Jepun yang hendak membuat komik badminton kan? Komik badminton bagi saya sebenarnya amat menarik, seperti yang kita lihat komik Anak-Anak Sidek, legenda komik Malaysia. Walaupun jalan ceritanya tidak begitu serius tentang badminton namun sekurang-kurangnya komik itu sudah mengorak langkah mempamerkan bahawa badminton juga menarik untuk dikomikkan!



3. Ceritakan pengalaman serta halangan menghasilkan komik Smash 20?
Hahaha.. Memang banyak cabaran dan halangan ketika menyiapkan Smash 20. Ini merupakan pengalaman pertama saya melukis komik secara serius. Pertama kali berhadapan dengan editor dan pertama kali menerbitkan komik sendiri. Maklumlah saya baru sahaja tamat sekolah.

Antara cabaran terhebat yang dialami ketika menghasilkan komik Smash 20 ini tentulah, risiko di 'reject' oleh editor. Haha.. Untuk menghasilkan komik yang baik, memang banyak halangan dan cabaran yang saya hadapi. Antaranya penyingkiran komik Sky Shuttle (nama sebelum Smash 20) dari finalis Bakat Baru, penukaran nama karakter komik yang sejak dulu saya gunakan, penukaran nama tajuk komik, pengalaman menghasilkan komik secara sorok-sorok daripada pengetahuan keluarga, pengalaman bekerja melukis komik sambil menyambung pengajian dan juga pengalaman membuat redo2 komik yang banyak. Hahaha...

Namun semuanya itu sudah memberi banyak pengajaran buat saya untuk dijadikan iktibar di masa hadapan. Alhamdulillah dan insyaAllah Smash 20 akan jadi lebih hebat lagi dengan pengajaran-pengajaran yang berguna ini
!


Foner (Irfan) bersama komik Smash 20

4. Harapan anda kepada semua pembaca yang sudah atau belum mendapatkan Smash 20?
Bagi yang sudah mendapatkan komik Smash 20 ini, saya mengucapkan jutaan terima kasih kerana sudi membeli hasil titik peluh saya yang berharga RM 6.90 ini! Tanpa kalian Smash 20 takkan berjaya di pasaran. Bagi yang belum mendapatkan komik Smash 20 saya sarankan encik-encik sekalian belilah ye? Tapi jangan lupa juga kumpul koleksi-koleksi komik M yang lain!

Jangan ketinggalan mendapatkan Smash 20! Mungkin sekarang anda rasa terbeban hendak membeli, tak apa. Tapi saya pasti masa akan datang nanti anda mungkin baru nak tercari-cari vol 1 di kedai untuk dijadikan koleksi setelah vol 10 baru saja diterbitkan. Mungkin sokongan padu anda itu menjadikan komik ini diadaptasi ke bentuk animasi atau live-action pula, siapa tahu?

Majulah industri komik Malaysia! Kita boleh setanding dengan Jepun dan Barat! InsyaAllah.

5. Projek/karya terbaru selepas Smash 20?
Saya kini dalam proses menghasilkan Smash 20 vol 2. InsyaAllah bakal terbit akhir Januari tahun hadapan. Seiring dengan kehangatan Bola Sepak Piala Dunia 2010, saya juga akan menghasilkan sebuah komik yang berkaitan dengan dunia bola sepak. Selain itu, terdapat juga beberapa rancangan menghasilkan siri komik oneshot.

Sunday, November 29, 2009

Sejak Bila Kami Berkawan?


Rayyan dan Naznin adalah rakan sekelas yang sering berkelahi. Ke mana sahaja mereka pergi, mereka pasti bergaduh sehinggakan semua rakan dan para guru pening kepala memikirkan kerenah mereka. Namun campur tangan antara ayah Rayyan dan emak Naznin menjadikan mereka berdua tergamam. Apakah yang berlaku? Adakah mereka akan berhenti berkelahi?


Kita selalu dengar orang cakap, gaduh-gaduh lama-lama jatuh cinta. Boring kan? Macam dah tahu apa kesudahan dia. Tapi citer Ainin Naufal ni lain sikit coz sampai akhir citer pun, diorang still tak berbaik dan asyik bergaduh. Last-last, mak ngan ayah diorang yang masing-masing janda dan duda buat keputusan nak kahwin untuk damaikan diorang tapi boleh pakai ke idea tu? Ntah-ntah makin teruk diorang gaduh!

Saturday, November 28, 2009

Cinta Tunggal

Mungkin aku agak ketinggalan untuk baca novel terbitan Gempakstarz tahun 2004 ni tapi sebenarnya tak coz jalan ceritanya memang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.


Siti Aishah merupakan seorang wanita yang cekal dan mempunyai semangat tinggi untuk berjaya. Walau bagaimanapun, dia harus akui bahawasanya dia rapuh sekiranya tiba hal tentang cintanya kepada Nizam, pria yang dikenalinya ketika di bangku sekolah. Seumur hidupnya, kasihnya hanya dibayangi oleh lelaki tersebut. Masa berlalu dan Siti Aishah masih meneruskan hidup dengan keyakinan perasaannya terhadap Nizam. Adakah kasih mereka akan bersatu jua pada akhirnya sekali gus tertulis sebagai sebuah cinta tunggal buatnya?


Secara keseluruhan, novel garapan Fakhrul Anour ni membawa pembaca mengimbau kenangan cinta monyet masa zaman sekolah dulu. Minat kat senior yang popular kat sekolah, kirim-kirim surat, ber'adik angkat', dan ber'abang angkat'... semua tu memang dah sinonim ngan bebudak sekolah zaman dulu.

Jika lazimnya, hero selalu digambarkan sorang yang hensem, baik, pandai dan pendek kata sempurna tapi tak bagi Nizam. Walaupun dia popular kat sekolah sebab muka dia hensem dan hebat dalam sukan tapi dia sangat lemah dalam pelajaran sampai dia gagal dalam SPM.

Korang rasa Siti Aishah minat lagi ke kat Nizam yang cuma kerja jaga parking kat Kompleks Pertama sedangkan dia lulusan universiti? Zaman sekarang ni, ada lagi ke pompuan yang tak kisah pasal material? Aku tak nak citer. Korang bacalah sendiri tapi ending dia memang tersasar jauh dari jangkaan aku!