Mari kita ikuti temu bual bersama penulis novel ini, Mohd Zahar Yasin.
1. Ceritakan serba sedikit latar belakang penulisan anda. Bagaimana anda bermula sebagai penulis dan antara karya yang pernah diterbitkan.
Saya mula berjinak-jinak dalam bidang penulisan ini kira-kira 5 tahun lepas, namun hanya betul-betul serius dalam dua tahun kebelakangan ini. Sejak kecil saya memang sangat menggemari buku dan akan membaca apa sahaja yang boleh dicapai oleh tangan. Namun hinggalah saya terbaca satu artikel bahawa penulis yang baik adalah juga seorang pembaca yang baik, barulah saya terfikir untuk mula menulis. Percayalah, ianya sangat sukar pada awalnya. Namun kerana minat, alhamdulillah, saya sudah mula berasa seronok dan yakin untuk terus menulis. Menyebut tentang karya, Pengembaraan Afiq adalah buku pertama saya yang telah diterbitkan dan Insya-Allah buku kedua saya, Legenda Elfarren akan diterbitkan dalam bulan Ogos ini.
2. Bagaimana boleh timbul idea nak buat cerita berbentuk sebegini?
Idea ini sebenarnya datang apabila melihat dua orang anak saudara saya (saya menggunakan nama mereka dalam buku ini) yang sering bergaduh. Itu bukanlah perkara pelik kerana kebanyakan adik-beradik memang begitu. Namun saya terfikir, mengapa perlu jadi begitu? Adik-beradik seharusnya saling menyayangi dan saling melindungi antara satu sama, setiap masa! Bertitik tolak dari situlah, saya memikirkan satu pengembaraan yang akan membuatkan mereka menilai semula perhubungan mereka dan juga apa yang penting dalam kehidupan mereka...
Cabarannya terletak pada kajiannya. Maklumat yang disertakan haruslah tepat dan boleh digambarkan dengan mudah. Syukurlah saya pernah mengikuti perkhemahan di dalam hutan selama beberapa hari, justeru sebahagiannya bolehlah diterjemahkan dalam buku ini.
4. Harapan anda terhadap novel ini?
Harapan saya sudah tentulah supaya novel ini boleh diterima ramai. Namun apa yang lebih penting adalah, para pembaca dapat menikmati pengembaraan dalam novel ini sambil mengambil beberapa pengajaran yang boleh didapati daripadanya.
5. Projek terbaru selepas Pengembaraan Afiq?
Daripada maklum balas yang saya terima, terutama para pelajar sekolah yang telah membaca novel ini, mereka bertanyakan jika ada sambungan bagi buku ini. Insya-Allah, jika ada rezeki dan dipersetujui oleh pihak penerbit, saya telah pun memikirkan pengembaraan berikutnya bagi Afiq, Hana, Nurul, Abang Is dan juga Leo!
Selain itu, seperti yang saya sebut di atas tadi, buku kedua saya yang bergenre Fantasi/Adventure akan keluar Ogos ini. Tajuknya Legenda Elfarren, juga akan diterbitkan oleh Alaf 21...
Buku seterusnya? Saya sudah pun memikirkan beberapa idea dan kini sedang membuat kajian yang secukupnya sebelum mula menulis. Insya-Allah, selagi ada kemampuan dan selagi ada idea, buku-buku saya akan terus menemui para pembaca...