Anda sudah membaca novel dan komik yang telah kami paparkan? Berapa bintang yang anda hendak beri? Cuma klik jumlah bintang di bawah setiap entri.

Friday, September 3, 2010

Komik-M Raya #2 dan Baju Raya dari Syurga

Sempena bulan Syawal yang bakal tiba tidak lama lagi, kami di Blog Nomik Malaysia mengesyorkan dua buah komik yang pastinya akan menceriakan lagi sambutan hari raya anda semua. Komik-komik tersebut adalah...


Apa akan jadi sekiranya watak-watak Komik-M digabungkan dalam satu buku? Saksikan watak-watak seperti Ultra Qalif, Dear Yayah, Meon, Takaza, Dunia Didi, Perang Kampung, Aviasi Fantasi dan Babap Boi bersatu dalam buku Komik-M Raya. Ikuti kisah-kisah menarik aneka ragam mereka sewaktu berpuasa dan menyambut hari raya!



Kad Raya Dari Syurga menghimpunkan kisah-kisah pembangun jiwa dalam bentuk komik. Menampilkan penulis-penulis hebat seperti Bahruddin Bekri, Nazri M. Annuar, Farihah Iskandar dan ramai lagi. Setiap bait ayat yang indah digabungkan dengan lakaran berus pelukis-pelukis komik hebat seperti Bop, 39, Mafia, Odows, Koma, Froggypapa dan ramai lagi.


Lebih istimewa lagi, kami berpeluang menemu ramah saudara Wan Zuhairi selaku Editor Kanan, Unit Komik-M yang juga bekas pelajar Universiti Al-Azhar dalam bidang Syariah. Mari kita ikuti temu ramah tersebut.

Bagaimana boleh timbul idea untuk membuat komik antologi sebegini?
Idea menghasilkan antologi ini timbul selepas memikirkan produk raya bagi unit Komik-M. Musim perayaan adalah musim setiap orang berbelanja dan memerlukan sesuatu sebagai kenangan istimewa. Oleh itu kami berharap Komik-M Raya dan Baju Raya Dari Syurga menjadi sesuatu yang istimewa sempena Ramadan dan Syawal 1431H.
 
Bagaimana pemilihan pelukis dilakukan?
Bagi Komik-M Raya, setiap pelukis komik yang mempunyai komik solo bersama Komik-M dijemput menghasilkan karya komik raya berdasarkan watak ciptaan masing-masing. Manakala komik Baju Raya Dari Syurga pula dibuka kepada umum bagi sesiapa yang mahu menghasilkan karya komik raya tanpa terikat dengan mana-mana watak.
 
Komik berbentuk sebegini pastinya bergantung pada musim. Jadi, bagaimana Komik M mengatasi isu ini?
Musim perayaan adalah musim yang sangat besar kepada masyarakat Malaysia. Pada musim ini semua produk raya dianggap istimewa. Disebabkan inilah kebanyakan majalah menghasilkan edisi bumper kerana keistimewaan ini. Meskipun tempoh masanya agak terhad, tetapi impak sambutannya melebihi sambutan pada hari-hari biasa dan produk-produk biasa. Pada tahun ini kedua-dua komik ini sudah berada di pasaran sebelum bulan puasa bermula pun lagi bagi menjadikannya berada di pasaran lebih lama. Dan ia boleh dijual kembali pada musim raya tahun-tahun akan datang kerana ia tidak mempunyai tarikh luput.

 
Wan Zuhairi bersama Komik M Raya #2 dan
Komik Baju Raya Dari Syurga.
 

Apa yang membezakan produk Komik M dengan komik-komik yang sedia ada di pasaran sekarang?
Pertama sekali daripada segi bahasa yang digunakan. Selaras dengan konsep penerbitan PTS yang mengutamakan penggunaan Bahasa Melayu Tinggi, Komik-M juga menggunakan bahasa yang betul dalam setiap komik. Kemudian daripada segi isi kandungannya yang mengutamakan nilai-nilai murni dan positif. Ini juga bersesuaian dengan matlamat penerbitan PTS bagi memandaikan bangsa melalui setiap produk yang diterbitkan.

Pandangan saudara Wan Zuhairi tentang senario komik tanah air?
Sedang membangun secara perlahan dan memerlukan sokongan semua pihak bagi menjadikannya sesuatu yang tidak asing dan tidak negatif pada mata masyarakat.

No comments: