Anda sudah membaca novel dan komik yang telah kami paparkan? Berapa bintang yang anda hendak beri? Cuma klik jumlah bintang di bawah setiap entri.

Friday, November 5, 2010

Planet-planet Cinta

Anda masih tercari-cari novel yang hendak dibaca? Apa kata anda membaca novel sains fiksyen garapan Maria Kajiwa ini.


Novel ini mengisahkan tentang seorang puteri kerajaan Jupiter yang bernama Puteri Elara. Beliau adalah bakal pengganti dan pewaris takhta kerajaan Jupiter pimpinan bondanya, Ratu Zeux dan ayahandanya, Raja Thytyus.
Bagaimanapun, satu keanehan telah berlaku di planet Jupiter. Salji turun lebih awal sehingga bahan kajiannya, Atta colombica telah mati. Namun yang mati itu menjadi permulaan yang lain. Hadirnya Prof. Ananke dari Bumi untuk membantunya menyelidik kematian spesis itu telah mengubah dan memulakan satu pengalaman hidup yang tidak pernah diduga.
Kerana cinta, dia mengembara.
Namun, takdir menentukan yang lain. Pesawatnya, Juniker 90 yang membawanya ke Bumi telah hilang dari radar.
Puteri Elara telah terdampar di sebuah planet beracun yang bernama Planet Tas-as-raum. Kehilangannya ditangisi rakyat Jupiter. Namun, ada dua insan yang terus mencari dan mengharapkan kepulangannya. Putera Adrastea dan Prof. Ananke.
Bagaimanakah kesudahan nasib Puteri Elara?

Hendak tahu apa yang istimewa tentang novel setebal 477 muka surat ini? Mari kita tanya penulisnya sendiri!


1) Hai, Puan Maria. Tahniah atas kelahiran novel ini. Pertama sekali, bolehkah puan menceritakan sedikit latar belakang penulisan puan dan antara karya puan yang sudah diterbitkan?
Saya sememangnya suka menulis dan banyak menulis sejak di bangku sekolah menengah, untuk buletin dan majalah sekolah sehinggalah ke peringkat Matrikulasi. Pada masa itu saya hanya menumpukan kepada penulisan sajak, cerpen dan artikel. Kemudian semasa saya melanjutkan pengajian dalam bidang App. Entomology, bidang penulisan saya tinggalkan sementara. Sehingga tahun 2007 baru saya bermula semula dengan menulis cerpen dan novel.
Saya mendapat pendidikan dalam bidang penulisan novel melalui kursus-kursus sepanjang tahun yang saya ambil dengan guru-guru penulisan fiksyen dari Amerika Syarikat dan Australia. Antaranya adalah Rob Parnell, Joan Penn, Mr. Randy , Jason Moser dan Holy Isle. Sehingga kini saya masih mempelajari dan mengikuti beberapa kursus secara mendalam. Kesemuanya dalam bidang penulisan novel genre.
Saya juga banyak membaca dan membuat ujikaji terhadap ilmu-ilmu penulisan yang saya pelajari.
Planet-planet Cinta (P2C) adalah karya pertama saya yang diterbitkan. Karya kedua adalah Olan dan sekarang saya sedang menanti tiga buah manuskrip lagi yang dijangka diterbitkan pada tahun hadapan.


2) Bagaimana puan boleh mendapat idea untuk menulis cerita sebegini dan mengapa puan memilih genre ini?
Idea mengarang kisah P2C adalah datang daripada kisah percintaan seorang kenalan. Saya memilih untuk menggunakan genre ini kerana pada saya tidak ada genre lain yang dapat menggambarkan betapa sukarnya kisah percintaan mereka berdua.

3) Apakah cabaran dan pengalaman yang puan hadapi sepanjang menghasilkan novel ini?
Cabaran mengarang dan menghasilkan novel ini ada tiga iaitu:
a) Ia merupakan manuskrip saya yang pertama, oleh itu saya terpaksa belajar dan menulis dalam masa yang serentak.
b) Ia menggabungkan dua genre berbeza iaitu Sains Fiksyen dan Cinta, maka mencari keseimbangannya sangat sukar.
c) Ia sukar mencari tempat penerbitan kerana genrenya yang sukar diterima.

4) Apakah harapan puan terhadap novel ini?
Harapan saya adalah pembaca akan berpuas hati dengan jalan cerita dan persembahannya, dapat memahami dan merasai penderitaan watak serta dapat membuka hati pembaca untuk menerima genre Sains Fiksyen sebagai salah satu pilihan bacaan pasa masa hadapan.

5) Projek novel yang akan datang pula?
Saya mempunyai senarai projek novel yang panjang daripada kisah kanak-kanak, remaja sehinggalah kepada sebuah thriller dewasa. Tetapi yang sedang saya usahakan adalah sebuah novel seram untuk remaja.


Inilah serba sedikit temu bual kami bersama Puan Maria Kajiwa. Jika anda sudah membaca novel ini dan ingin membaca karya beliau yang lain, anda bolehlah melayari blog Elara.

No comments: