Anda sudah membaca novel dan komik yang telah kami paparkan? Berapa bintang yang anda hendak beri? Cuma klik jumlah bintang di bawah setiap entri.

Sunday, January 15, 2012

Merah Cinta Epal

AKAN DATANG FEBRUARI INI



"Rasa cinta kita seperti manisnya epal merah."




Kerana sebiji epal merah, hidup Irdina menjadi tunggang-langgang! Bak roller coaster yang bisa membuatkan jantung seakan-akan mahu melompat keluar dari badan.

Kerana sebiji epal merah, Ekhmal telah benar-benar jatuh cinta dengan gadis pujaan hatinya. Dan kerana sebiji epal merah jugalah mereka bertemu semula.

Kerana sebiji epal merah, Irdina terpaksa berlakon sebagai tunang Ekhmal. Pelbagai dugaan terpaksa dirempuhi. Dia terpaksa berdepan dengan mama Ekhmal, Puan Sri Hasmiza yang amat cerewet dan mementingkan darjat. Dia juga terpaksa berdepan dengan sepupu Ekhmal, Balkhis yang sepatutnya dijodohkan dengan Ekhmal. Dia juga terpaksa mengikut ‘rentak tarian’ Ekhmal yang amat spontan hingga hampir-hampir membongkar rahsia mereka berdua.
Tatkala Ekhmal dan Irdina benar-benar jatuh cinta,

Hasmir hadir memusnahkan pelangi indah yang mewarnai hidup Ekhmal dan Irdina. Keadaan semakin keruh apabila Balkhis turut sama bersekongkol dengan Hasmir demi mendapatkan semula Ekhmal. Kehadiran Isma merumitkan lagi keadaan.

Bagaimanakah masalah yang berselirat ini dapat dileraikan? Bisakah Ekhmal dan Irdina menyulam cinta di mahligai bahagia? Hasmir… berjayakah dia menggapai cinta daripada Irdina? Balkhis… dapatkah dia merebut semula Ekhmal dari tangan Irdina? Puan Sri Hasmiza… dapatkah dia menerima Irdina sebagai menantunya? Apakah kaitan Isma yang tiba-tiba ingin mencampak Irdina ke lembah derita? Segala-galanya bisa terjawab dalam MERAH CINTA EPAL.

Tuesday, December 20, 2011

Erti Cinta

"Mana saya punya cinta?"


ANIS SARINA hanya mahukan sebuah tempat tinggal yang aman. Dia bersama sahabat baiknya, Maria berpindah meninggalkan kediaman kolejnya untuk tinggal di sebuah rumah sewa di tingkat 7, sebuah flat.

Namun ketenangan yang diharapkan tidak kesampaian. Pertemuannya dengan pemuda yang bernama Danny dan Joe membuatkan hidupnya tunggang langgang. Hatinya terpaut kepada Danny pada pandangan yang pertama namun Joe terus menghantui setiap langkahnya.

"Dia handsome lah…cair hati aku."

"Handsome macam mana pun, bukan mata kau seorang aje yang nampak tau. Berduyun lagi girls dalam Kuala Lumpur ni yang nampak. Jangan hati kau cair masuk longkang, sudahlah."

"Hish! Cair masuk longkang katanya. Tak kisahlah tu. Yang pentingnya, tak pernah hati aku cair begitu cepat macam tu. Inilah first time aku rasa, aku jatuh cinta pandang pertama.” Dia menyembamkan muka ke tilam, malu pula mengaku begitu. Nasib baik dengan Maria, kalau dengan orang lain…mana nak letak muka?

"Lain kali jangan nak pakai kawan aje kalau tak pasti. Entah-entah budak datang hisap dadah kat flat ni," bebel Joe lagi. Wajahnya makin garang.

Darah Anis menyirap. "Danny lelaki baiklah, kalau kau tak kenal, janganlah kau tuduh-tuduh pulak. Macamlah kau tu baik sangat."

Joe menggeleng. "Sudahlah, dah nak senja. Naiklah cepat."

"Eh! Joe, kenapa kau suka suruh kami naik bila senja ha? Kau tak ada kerja ke selain jaga kami?" Anis makin menyinga. Maria terlopong.

Joe mengangkat bahu. "Aku tak paksa. Kalau kau nak berkhemah di tangga ni pun boleh." Joe berpaling dan melangkah balik ke kafenya dengan muka yang merah padam.

Anis tergamam, hanya matanya saja merenung setiap langkah Joe. Kalau boleh hendak ditolak-tolak biar lelaki tu jatuh tersembam. Pandai-pandai tuduh Danny budak dadah. Heee… hatinya membentak.

Namun siapakah sebenarnya Danny yang penuh misteri itu? Mampukah Anis menerima hakikat yang sebenarnya? Kenapa Joe sentiasa memerhatikan Anis? Sanggupkah Maria berkorban dan mengalah? Semuanya akan terjawab di dalam novel ini. Empat erti cinta yang mesti diselesaikan…. Siapakah yang akan bahagia?

Tuesday, November 15, 2011

Novel untuk dimenangi



Cuma KLIK, JOIN dan baca syarat-syaratnya di sana :)

Tuesday, August 23, 2011

Siapa Mahu Menang Hadiah?

Berita baik! Bermula pada bulan ini, blog Info-Nomik ini akan menampilkan sebuah kolum baru iaitu "peraduan".

Kolum ini akan memberi peluang kepada pembaca blog ini untuk memenangi hadiah menerusi peraduan yang diadakan.

Untuk permulaan, anda semua dijemput menyertai peraduan "Beraya Dengan Kecemprengman".




Bagi mengetahui cara-cara untuk menyertai, syarat-syarat peraduan dan hadiah yang akan dimenangi, sila klik di sini.

Monday, July 18, 2011

Ultra Qalif


Alhamdulillah, bertemu kita sekali lagi di satu-satunya saluran info yang memaparkan karya-karya novel mahupun komik tanah tumpahnya darahku, Malaysia yang tercinta. Kali ini kami mahu menemu bual seorang pelukis komik yang popular dengan siri komik 'Ultra Qalif'. Mari kita korek riwayat hidup saudara Bophairy.

Assalamualaikum, saudara Bophairy. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk ditemu ramah. Dengar khabar, ada berita gembira sewaktu di Majlis Anugerah Pekomik 2011 yang baru berlangsung pada penghujung bulan Jun yang lepas. Boleh kongsikan apakah berita baik tersebut?
Waalaikumussalam. Terima kasih juga kerana sudi menemu ramah saya yang bukan siapa-siapa ini. Alhamdulillah, komik Ultra Qalif #1 memenangi kategori 'komik baru terbaik'. Itulah berita gembira yang tidak pernah saya sangka akan saya dapat. Alhamdulillah.

Menerima anugerah daripada 
Tuan Azhar Abdullah di atas pentas.

Ceritakan latar belakang saudara dan antara karya yang sudah diterbitkan.
Untuk menceritakan latar belakang, saya rasa perlu ada muzik latar baru menarik. Tapi kalau tiada, harap pembaca yang baca temu ramah ini dapat buat muzik sendiri dengan membuat beatbox. Saya memulakan karya melukis komik dengan melukis untuk majalah 'Kancil' dan 'Batu Api' sekitar tahun 2002. Kemudian saya bersama seorang kawan ada mencuba nasib menerbitkan majalah sendiri yang bernama 'TNT' tetapi hayatnya tidak panjang.

Kemudian, sekali lagi mencuba nasib dengan menerbitkan majalah komik info 'Fantasia' (bukan Fantasi ya). Tapi masih menemui jalan buntu. Mungkin kerana pada sekitar  tahun 2004-2005, industri dan penerimaan pembaca pada komik tempatan sangat dingin. Tapi alhamdulillah, sekarang pasaran komik sudah semakin baik dan pembaca kembali mempercayai komik.

Memandangkan industri yang agak tenat, saya hanya menumpukan membuat kerja-kerja freelance melukis dan mewarna untuk buku buku cerita kanak kanak. Tapi alhamdulillah, atas rezeki kurniaan Allah, saya mendapat peluang untuk berkarya dengan majalah 'Blues Selamanya' terbitan MOY. Tetapi mungkin rezeki saya hanya dapat berkarya beberapa bulan untuk majalah itu kerana tidak lama kemudian majalah itu tidak diterbitkan lagi.

Sehinggalah sekarang, Allah membuka jalan untuk saya berkarya dengan Komik M untuk tujuan yang lebih besar dan bermakna. Alhamdulillah, sampai sekarang saya masih berkarya dengan komik Ultra Qalif saya dan juga sangat seronok menyumbang karya untuk pelbagai komik komik antologi terbitan Komik M. Terima kasih Komik M!! anda memang kacak!

Bagaimana boleh timbul idea menghasilkan komik Ultra Qalif?
Hmm... Bagaimana ya. Begini, saya melihat pembaca pembaca muda amat cenderung kepada animasi dan komik-komik yang menampilkan watak-watak yang mempunyai kuasa luar biasa. Contoh yang paling ketara buat masa itu ialah watak 'Ben 10' yang memang menjadi fenomena. Jadi saya pun terfikir, mengapa tidak saya cuba untuk mereka seorang watak remaja yang mempunyai kuasa luar biasa dan cuba menarik minat pembaca-pembaca muda dengan watak itu. Di samping itu juga apalah salahnya jika saya menyumbang sedikit sebanyak kepada pembaca dengan menyelitkan nilai-nilai yang baik dalam komik saya. Jadi saya menerapkan nilai-nilai itu dalam watak Qalif.

Saya menterjemahkan kepada pembaca yang Qalif ini seorang anak yang baik, taat pada suruhan Allah, menghormati orang tua dan seorang yang kuat semangat. Di samping itu, beliau juga mempunyai kuasa yang tersangatlah hebat dan tidak terbatas. Kerana yang pastinya rata-rata pembaca komik saya terdiri daripada pembaca-pembaca muda, jadi harapnya sedikit sebanyak nilai-nilai baik itu menjadi teladan kepada mereka. Kalau tidak banyak, sedikit pun saya sudah bersyukur. Saya hanya mencuba. Ibarat  'menyelam sambil minum air'. Tapi harus diingat, jangan buat begitu jika menyelam di dalam laut. Jika tidak, pasti anda dapat penyakit darah tinggi yang kronik.

Bergaya ala-ala super model sambil
membaca komik sendiri. 

Cabaran dan pengalaman dalam menghasilkan Ultra Qalif ?
Untuk buku #1, saya rasa agak mencabar untuk menyiapkan komik sebanyak 100 muka surat. Itulah pertama kali dalam hidup saya kena melukis komik yang begitu panjang. Tetapi alhamdulillah, buku #2 dan buku #3 saya sudah mula menyesuaikan diri. Oleh sebab selalu melukis hingga lewat malam, sering juga saya tertidur semasa melukis dan bila saya periksa lukisan saya itu pada esok harinya, ada-ada saja objek-objek pelik yang saya lukis semasa saya separuh sedar. Magik sungguh...

Harapan terhadap Ultra Qalif?
Harapan saya untuk Ultra Qalif ini sangat besar dan harapnya juga dapat menyuntik sesuatu pada pembaca. Insya-Allah.

Projek komik terbaru dan akan datang?
Buat masa terdekat ini, saya sedang merangka untuk menyertai IPCC untuk tahun ini. Harapnya sempatlah. Kemudian, mungkin saya akan menghasilkan sebuah buku. Ya, buku. Bukan komik. Juga bukan sebuah novel. Apakah dia? Tungguuuu..


Dapatkan Ultra Qalif #1, #2 dan #3 di pasaran. 

Wednesday, June 1, 2011

Fantasi Pip (Kisah Si Patung Pari-pari)

Kami sungguh berbesar hati kerana berpeluang menemubual seorang pelukis wanita yang namanya sedang meningkat naik di arena komik. Pelukis yang kami maksudkan ialah Suraya Md Nasir. Komik fantasi Pip (Kisah Si Patung Pari-pari) sudah berada di pasaran. Mari kita dengar apa kata Suraya tentang Fantasi Pip.
 

Ceritakan latar belakang saudari
Saya pelukis freelance sejak tahun 2008, masa tu tengah ambik degree. Tahun 2008 tu kerja dengan kompeni MOY, majalah Blues Selamanya, kemudian majalah diberhentikan kerana masalah dalaman. So saya pun apply kerja di majalah g3 dan bekerja hingga sekarang.

Bagaimana boleh timbul idea komik Fantasi Pip?
Idea timbul masa saya tengah jejalan shopping sesorang.. tiba-tiba dapat idea untuk buat karektor di mana sebuah anak patung boleh bercakap dan mempunyai hubungan istimewa dan kelakar dengan tuan dia. Idea asal jadi lagi prominent lepas buat research dan komen dari kawan-kawan.
Suraya bersama Komik Fantasi Pip

Cabaran dan pengalaman dalam menghasilkan Fantasi Pip?
Cabaran tu biasalah, takde masa nak siapkan sebab jumlah page komik yang banyak. Tapi sebab enjoy sangat buat cerita ni, tak rasa beban pun. Makin hari rasa macam kenal karektor-karektor yg saya cipta ni seperti Johanna dan Pip.
Sedang melayan peminat sempena PBKL yang lepas

Harapan terhadap Fantasi Pip?
Personally saya rasa komik ni enjoyable, so harapan saya ialah nak sangat semua org baca komik ni. Bila orang gelak dan cerita dekat saya how much they enjoy the book, itulah my most ultimate satisfaction.

Projek komik terbaru dan akan datang?
Projek terbaru ialah untuk menghasilkan lebih banyak sambungan dan serius kepada cerita Fantasi Pip ni.. Hopefully korang saport dan miliki la buku ini! Dan jangan lupa untuk ikuti karya saya di majalah g3 Karangkraf dan ikuti blog saya www.superjoner.blogspot.com :)


Johanna merupakan seorang budak perempuan yang ‘girly? dan sangat sukakan pari-pari sejak kecil. Namun setelah dia membesar, Johanna menjadi seorang tomboi serta mempunyai masalah pembelajaran di sekolah. Sehinggalah dia terlihat iklan patung pari-pari, sebuah alat bantu belajar di kaca televisyen. Harapan ibu dan Johanna untuk mengatasi masalah di sekolah menjadi angan-angan dengan kedatangan patung pari-pari yang rosak bernama Pip! Pip bercakap, makan, minum dan berfungsi seperti manusia! Bagaimanakah kehidupan Johanna dengan kedatangan Pip? Ikuti kisah mereka dalam Fantasi Pip, Kisah Si Patung Pari-pari.

Saturday, May 14, 2011

Bulan Komik di PNM

Untuk maklumat lanjut, sila klik di sini