Anda sudah membaca novel dan komik yang telah kami paparkan? Berapa bintang yang anda hendak beri? Cuma klik jumlah bintang di bawah setiap entri.

Wednesday, December 2, 2009

Smash 20

Ehsan Fairuz meminati sukan bola sepak, namun orang di sekelilingnya lebih suka dia bermain badminton. Keadaan itu menyebabkan dia memberontak sehingga berlaku pertengkaran antara dia dan cikgunya. Akhirnya Ehsan Fairuz mengalah dan bermain badminton. Malah, dia terus diberi tanggungjawab menjadi pemain penting dalam perlawanan badminton peringkat daerah. Apakah keistimewaan yang ada pada Ehsan sehingga orang di sekelilingnya begitu bersungguh mahu dia menjadi pemain badminton? Apakah kelebihan yang ada pada orang baru sepertinya sehingga diberi kepercayaan memikul tanggungjawab berat itu?

ISTIMEWA TEMUBUAL BERSAMA PELUKIS KOMIK SMASH 20

1. Ceritakan sedikit tentang latar belakang anda?
Lahir di Taman Melawati dan dibesarkan di Lembah Keramat, Gombak, Selangor. Menamatkan pengajian SPM di SMK Seri Keramat. Dan kini sedang menuntut di Pra-Universiti di UIA Malaysia, Petaling Jaya dalam bidang arkitek.


2. Untuk Komik Smash 20 ni, kenapa pilih sukan badminton sebagai jalan cerita komik ni?
Saya sendiri sebenarnya seorang peminat komik sukan, komik yang mengajak pembaca supaya tak mudah berputus asa dan berazam melawan hingga ke akhir memang mengasyikkan saya. Saya amat meminati badminton sejak kecil lagi dan sudah mula berfikir-fikir hendak membuat komik badminton sejak akhir tahun 2006 dan 2007.

Lagi satu, badminton juga bagi saya bukanlah satu sukan popular berbanding tenis. Kalau tidak, tak mungkinlah tiada mangaka-mangaka hebat Jepun yang hendak membuat komik badminton kan? Komik badminton bagi saya sebenarnya amat menarik, seperti yang kita lihat komik Anak-Anak Sidek, legenda komik Malaysia. Walaupun jalan ceritanya tidak begitu serius tentang badminton namun sekurang-kurangnya komik itu sudah mengorak langkah mempamerkan bahawa badminton juga menarik untuk dikomikkan!



3. Ceritakan pengalaman serta halangan menghasilkan komik Smash 20?
Hahaha.. Memang banyak cabaran dan halangan ketika menyiapkan Smash 20. Ini merupakan pengalaman pertama saya melukis komik secara serius. Pertama kali berhadapan dengan editor dan pertama kali menerbitkan komik sendiri. Maklumlah saya baru sahaja tamat sekolah.

Antara cabaran terhebat yang dialami ketika menghasilkan komik Smash 20 ini tentulah, risiko di 'reject' oleh editor. Haha.. Untuk menghasilkan komik yang baik, memang banyak halangan dan cabaran yang saya hadapi. Antaranya penyingkiran komik Sky Shuttle (nama sebelum Smash 20) dari finalis Bakat Baru, penukaran nama karakter komik yang sejak dulu saya gunakan, penukaran nama tajuk komik, pengalaman menghasilkan komik secara sorok-sorok daripada pengetahuan keluarga, pengalaman bekerja melukis komik sambil menyambung pengajian dan juga pengalaman membuat redo2 komik yang banyak. Hahaha...

Namun semuanya itu sudah memberi banyak pengajaran buat saya untuk dijadikan iktibar di masa hadapan. Alhamdulillah dan insyaAllah Smash 20 akan jadi lebih hebat lagi dengan pengajaran-pengajaran yang berguna ini
!


Foner (Irfan) bersama komik Smash 20

4. Harapan anda kepada semua pembaca yang sudah atau belum mendapatkan Smash 20?
Bagi yang sudah mendapatkan komik Smash 20 ini, saya mengucapkan jutaan terima kasih kerana sudi membeli hasil titik peluh saya yang berharga RM 6.90 ini! Tanpa kalian Smash 20 takkan berjaya di pasaran. Bagi yang belum mendapatkan komik Smash 20 saya sarankan encik-encik sekalian belilah ye? Tapi jangan lupa juga kumpul koleksi-koleksi komik M yang lain!

Jangan ketinggalan mendapatkan Smash 20! Mungkin sekarang anda rasa terbeban hendak membeli, tak apa. Tapi saya pasti masa akan datang nanti anda mungkin baru nak tercari-cari vol 1 di kedai untuk dijadikan koleksi setelah vol 10 baru saja diterbitkan. Mungkin sokongan padu anda itu menjadikan komik ini diadaptasi ke bentuk animasi atau live-action pula, siapa tahu?

Majulah industri komik Malaysia! Kita boleh setanding dengan Jepun dan Barat! InsyaAllah.

5. Projek/karya terbaru selepas Smash 20?
Saya kini dalam proses menghasilkan Smash 20 vol 2. InsyaAllah bakal terbit akhir Januari tahun hadapan. Seiring dengan kehangatan Bola Sepak Piala Dunia 2010, saya juga akan menghasilkan sebuah komik yang berkaitan dengan dunia bola sepak. Selain itu, terdapat juga beberapa rancangan menghasilkan siri komik oneshot.

2 comments:

adi iskandar said...

biler siri ke2 nak kluar...........?
dah tunggu lame giler....nih.

Fazl said...

Itu kena tanya pelukis/penulisnya sendiri :)