Anda sudah membaca novel dan komik yang telah kami paparkan? Berapa bintang yang anda hendak beri? Cuma klik jumlah bintang di bawah setiap entri.

Monday, November 15, 2010

Semanis Coklat

Apabila membaca hasil karyanya, pasti ramai yang menganggap dia seorang wanita. Mengapa? Mari kita ikuti temu bual bersama penulis novel Semanis Coklat, Rizai Reeani.


NAWWAR hanyalah gadis biasa yang ceria. Hidupnya dikelilingi oleh keluarga yang bahagia. Dia tidak pernah gusar akan pandangan orang sekeliling terhadapnya setelah berlaku satu kejadian yang memalukan di sekolah asalkan dia bersama-sama keluarga tersayang. Sebagai seorang gadis, sudah tentu ingin merasa bagaimana mencintai dan dicintai. Apabila kali pertama melafazkannya, hasratnya untuk merasa manisnya cinta tidak kesampaian. Dia ditolak mentah-mentah oleh jejaka pilihan hati. Walau apa pun, hidup tetap perlu diteruskan. Dia yakin, lambat-laun, akan ada putera raja siap dengan menunggang kuda akan menjemputnya juga.

"Saya faham, saya tidaklah secantik mana. Namun entah mengapa masih ingin mencuba memikat hati si dia yang nyata lebih tinggi kedudukannya dari saya. Saya lupa sebentar, masakan enggang, sudi terbang bersama-sama pipit,"

TARMIZI atau Ezzy menjadi bintang pujaan di sekolahnya. Ke mana sahaja lelaki itu pergi, pasti menarik perhatian. Dengan wajah persis model dan susuk tubuh ala seorang atlit sukan, memang mencairkan hati gadis-gadis yang melihat. Namun jauh di lubuk hati, dia kesunyian. Ada sepi yang menjalar di segenap urat nadi. Percaya dan mempercayai sukar untuknya. Semua adalah berpunca dari kisah hitam yang tidak mahu langsung dikenang.

"Orang melihat aku punya segalanya. Namun realitinya, hati aku merana. Bagi mereka, hidup aku sempurna. Hakikatnya, kehidupanku tidaklah sebahagia yang mereka fikirkan,"

Persoalan hati dan perasaan memang sukar untuk ditafsirkan sampi bila-bila. Dalam ketawa ada terselit duka. Dalam ria ada tersulam derita. Hati mengata cinta tapi mulut tidak mengakuinya. Kisah cinta dan suka-duka remaja. Penuh dengan pesona!




1) Hai, Rizai. Bolehkah saudara menceritakan sedikit latar belakang penulisan saudara. Bagaimana saudara boleh bermula sebagai penulis dan antara karya yang sudah diterbitkan.
Saya mula terlibat dalam bidang penulisan sejak tahun 2007 tetapi mula aktif sekitar tahun 2009. Berjinak-jinak menulis cerpen sejak dari bangku sekolah yang mana guru Bahasa Melayu saya ketika itu banyak memberi semangat dan dorongan. Kemudian saya terjumpa sebuah laman sesawang yang mengumpulkan penulis dan pengarang bakat baru iaitu Kapasitor.net.

Di laman sesawang inilah saya bergaul dengan ramai penulis baru dan bertukar pendapat serta belajar tentang ilmu penulisan. Sehinggalah tahun 2009, saya bertemu dengan seorang penulis yang kini menjadi mentor saya dalam bidang penulisan iaitu Puan Maria Kajiwa. Beliau banyak memberi tunjuk ajar, nasihat dan dorongan tentang ilmu penulisan.

Cerpen pertama saya diterbitkan dalam majalah Remaja pada bulan November 2007 bertajuk “Secebis Kasih Semalam”. Sejak itu saya mula aktif menulis cerpen dan Alhamdulillah, beberapa cerpen saya mendapat tempat dalam akhbar dan majalah seperti Berita Minggu dan Mingguan Wanita.




2) Bagaimana saudara boleh dapat idea untuk buat cerita ini dan mengapa saudara memilih genre ini?
Idea menghasilkan Semanis Coklat tercetus daripada watak utamanya iaitu Nawwar. Ada seorang sahabat saya yang perwatakannya lebih kurang sama dengan Nawwar. Justeru, dengan perwatakan sahabat saya itulah saya cuba hasilkan sebuah jalan cerita yang mana serba sedikit adalah pengalaman saya semasa di sekolah dahulu dan pengalaman rakan-rakan lain yang saya rangkum untuk jadikan sebuah manuskrip novel.

Saya memilih genre cinta kerana ia dekat dengan hati saya. Pada saya, genre cinta ini luas skopnya. Tidak hanya tertumpu pada cinta remaja; lelaki dan perempuan tetapi saya lebih menitikberatkan cinta kekeluargaan dalam setiap manuskrip novel saya. Ditambah dengan kisah-kisah cinta yang selalu berlegar-legar di sekeliling kehidupan saya, membantu saya untuk lebih menjurus dalam genre ini.




3) Apakah cabaran dan pengalaman saudara dalam menghasilkan novel ini?
Terus terang, novel Semanis Coklat adalah sebuah nopen (novel pendek) yang mulanya disiarkan di blog e-novel saya iaitu Rizai Reeani. Alhamdulillah, atas sambutan yang menggalakkan, ramai yang menggesa saya menghantar e-novel ini untuk diterbitkan.

Maka saya tegarkan hati, cuba menghantar ke sebuah penerbit iaitu KarnaDya. Alhamdulillah, manuskrip itu diterima tetapi saya perlu melakukan banyak pengubahsuaian kerana mulanya manuskrip ini tidak sampai 120 muka surat.

Cabarannya sudah tentu dalam memanjangkan jalan cerita. Bayangkan sebuah manuskrip yang sudah siap, yang mana pengakhirannya sudah ada, tiba-tiba harus diubah dengan menambah lebih banyak konflik dan babak. Alhamdulillah, dengan izin Allah dan sokongan rakan-rakan, saya berusaha menambah muka surat seperti yang diminta oleh penerbit supaya ia dapat menjadi sebuah manuskrip dalam kategori dewasa.

Saya juga sering disalah anggap sebagai seorang penulis perempuan kerana jarang-jarang penulis lelaki menghasilkan kisah cinta. Awal-awal dahulu agak letih juga mahu memberitahu kepada pembaca bahawa saya seorang lelaki. Ada yang tidak percaya sehinggalah saya menunjukkan gambar sendiri. Apabila dikenang semula, memang geli hati.

Walaupun novel Semanis Coklat bukanlah manuskrip novel pertama yang saya hasilkan, tetapi ia cukup bermakna bagi saya kerana manuskrip novel ini yang pertama diterima oleh penerbit untuk diterbitkan.

4) Harapan saudara terhadap novel ini

Untuk novel sulung ini, saya berharap agar menerima banyak tunjuk ajar dan ulasan agar saya dapat memperbaiki mutu penulisan saya. Saya lebih gemar menulis kisah yang santai tetapi tidaklah sehingga mengabaikan kesalahan tatabahasa seperti tanda baca dan sebagainya.

Semoga para pembaca terhibur dengan kisah cinta yang saya paparkan dalam novel ini dan mengambil pengajaran akan mesej yang cuba disampaikan. Tidak banyak, sedikit pun jadilah. Sokongan dan dorongan semua amat saya hargai.

5) Projek novel akan datang


Saya sedang menghasilkan dua buah manuskrip novel dalam kategori kanak-kanak atau awal remaja selain beberapa manuskrip dalam kategori dewasa. Tentunya berkisar tentang cinta, cuma untuk manuskrip novel kanak-kanak atau awal remaja, ia lebih kepada genre fantasi dan thriller. Insya-Allah...


3 comments:

Ridha Reewani / Rizai Reeani said...

Terima kasih untuk temubual ini. Saya amat hargainya. (^_^)

Fazl said...

:)

Ily said...

Gud Luck Ridhwan a.k.a Rizai Reeani :)